Jumat, 03 Agustus 2012

Ini Cintaku Tuhan



Tatkala angin datang membawa ribut, tika itu juga hujan datang membawa rahmat. Sungguh hebat kuasaMu, tiadalah siapa yang mampu berdiri mahupun duduk tanpa izinmu. Sungguh tiada sekutu bagiMu Tuhanku.


Aku ingin sekali sembahkan rasa cinta paling manis untukmu Tuhan, tapi aku sedar tatkala kemanisan itu sedang mengalir menyubur bumi, aku pula mula jatuh menyembah bumi. Sungguh aku ingin jadi insan yang begitu hebat menyemai cinta untukMu. Apalah ertinya hidup ini tanpa belas ihsan dariMu tuhan yang menciptakan setiap inci ruang tubuhku ini.


Andai masih kau berikan aku kederat untuk melangkah..maka peliharalah langkahku ini agar setiap pepasir yang mengiri langkahku menjadi saksi aku berjalan atas namaMu. Andai masih kau berikan peluang aku sujud dimuka bumi mu, maka peliharalah hatiku agar bumi ini menjadi saksi keikhlasanku hanya untukMu.


Membawa diri di dunia ini ibarat bermusafir di sebuah dataran yang luas. Jalannya terlalu panjang, tapi kematian itu satu kepastian. Aku berkelana sebagai seorang hamba, membawa beban2 amanah sebagai anak, memikul segunung harapan daripada ibunda dan ayahanda tercinta dan mengendong hasrat murni diri ini agar kelak aku menjadi insan yang berjasa buat semua, dan tiadalah ertinya perjuangan ini melainkan hanya untukMu Tuhan.


Di saat ini, aku merasa dunia ini semakin sampai ke penghujungnya, dan aku pula berada di sudut jambatan yang sedang goyang menanti hari jatuh ke lembah sungai yang begitu deras airnya. Syukur kerana kau jugalah yang berikan kederat ini untuk bertahan dan terus bertahan. Pada kesusahan yang kau tampilkan, di celah2 itu kau salurkan nikmat dan bantuan, tiadalah apa yang dapat ku berikan selain daripada sebuah rasa cinta yang begitu mendalam buatmu Tuhan.


Atas nama cinta ini, maka peliharalah hati ini Tuhan agar tidak bisa dicemari dan dikotori..lama mana bisa ku bertahan kerana aku sedar kematian itu seringkali hadir menjemputku dalam tidur mahupun jaga..aku pula, insan yang berpaut di ranting yang begitu rapuh sekali..antara hidup atau tidak..tapi itulah namanya cinta..punyai kuasa dan rohnya...


Biarpun ranting itu rapuh dan luluh..tapi atas nama cinta ini, kebergantunganku jauh lebih kukuh dan ampuh padaMu...apalah ertinya diri ini tanpa balasan cinta dan kasih daripadaMu Tuhan..andai sudah tertulis di luh mahfuzmu waktu cintaku diambil, maka terimalah diriku pada saat hati ini paling dekat dan rapat denganMu Tuhan..


Sekuat mana pun hambamu berjalan, suatu masa pasti terduduk keletihan..itulah aku cuma insan biasa..tiada apa yang boleh dibanggakan kerana semuanya dari Allah yang Maha Hebat..pecipta langit dan bumi..pemilik sekalian hati dan cinta..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar